PANDANGAN SERONG MASYARAKAT NON-MUSLIM TERHADAP MUSLIM

 PANDANGAN SERONG MASYARAKAT NON-MUSLIM TERHADAP MUSLIM

Islam merupakan agama yang paling banyak disalahfahami oleh majoriti masyarakat dunia. Kesalahfahaman ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan masyarakat bukan Islam, malah sering juga berlaku dalam kalangan masyarakat Islam itu sendiri. Pelbagai tuduhan, tohmahan dan anggapan salah dibuat terhadap Islam yang menggambarkan kesalahfahaman masyarakat terhadap Islam. Semua ini berlaku kerana kejahilan terhadap hakikat agama Islam itu sendiri.

Hakikat ini diakui oleh pemimpin dan ulama Islam antaranya Allahyarham Sayyid Maulana Maududi (menerusi bukunya iaitu Understanding Islam) dan bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir. Ketika berucap di Pusat Pengajian Oxford United Kingdom, Tun Dr. Mahathir berkata, “Islam mungkin merupakan agama yang paling disalahertikan di dunia hari ini dan mungkin sepanjang sejarah”.




1. Tanggapan Buruk terhadap Imej Islam

Masyarakat non-Muslim bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia melihat akan perpecahan yang berlaku dalam kalangan umat Islam. Hal ini berlaku adalah kerana negara Islam sendiri telah berpecah kepada kumpulan-kumpulan tertentu. Akibat daripada perpecahan ini, banyak masalah tidak dapat diselesaikan. Walaupun Islam sangat mengambil berat kepada perpaduan, tetapi masyarakat Islam terus berpecah dan menjadi lemah. Antara sebab umat Islam berpecah kerana lahirnya pelbagai parti politik dan pertubuhan dakwah dan sifat ketaksuban terhadap pemimpin serta ajaran-ajaran sesat yang berleluasa lagi menambahkan lagi kepincangan dalam ajaran Islam. Hal ini menyebabkan, proses dakwah menghadapi masalah kerana sesuatu kumpulan tidak akan senang untuk menerima buah fikiran dari bukan kumpulannya (Aziz Jamaludin, 2011). Peristiwa sebegini akhirnya menyebabkan masyarakat non-Muslim menjauhkan diri dengan masyarakat Islam.

Selain itu, imej bangsa Melayu di mata masyarakat bukan Islam juga kurang baik. Masyarakat Melayu sering disifatkan sebagai pemalas, mengamalkan rasuah, gila kuasa dan tidak pandai berdikari (Khairul Azhar, 2013).


2. Masyarakat non-Muslim Terpengaruh dengan Agenda Barat

Kita dapat lihat bagaimana pihak Barat menggunakan media bagi mengecam orang Islam dan negara-negara Islam dengan pelbagai istilah. Mereka menggambarkan Islam sebagai penghalang kepada kemajuan dan kerana itulah masyarakat Islam dilihat sebagai ortodoks, fundamental dan konservatif. Istilah-istilah tersebut kemudiannya menjadi lebih keras dan kasar sehingga menampakkan setiap tindakan yang diambil oleh orang Islam sebagai menakutkan. Manakala, di atas dasar perasaan takut, mereka kemudian mencipta pula persepsi Islamofobia dan mengaitkannya dengan keganasan, pembunuhan, rampasan kuasa dan lain-lain tindakan jenayah. Sehinggakan, mereka membentuk persepsi bahawa pakaian yang digunakan sebahagian masyarakat Islam sebagai amat menakutkan atau ditafsirkan mempunyai kaitan dengan penjenayah.

3. Menuduh Islam Menyembah Berhala

Pada zaman serba moden ini pelbagai perkara yang boleh berlaku. Antaranya orang Barat yang menuduh umat Islam menyembah berhala seperti agama mereka. Dengan kata lain, mereka menganggap Islam ada Tuhan lain melainkan Allah. Tuduhan ini berdasarkan Kaabah di Makkah. Sedangkan Kaabah itu adalah sebagai satu simbolik dalam Islam. Hal ini dapat dibuktikan kerana manusia boleh naik di atas Kaabah itu. Berbeza pula dengan agama mereka kerana berhala yang mereka sembah itu tidak boleh dipijak. Jelas menunjukkan Islam bukan seperti yabg mereka sangkakan.